Khamis, 10 Januari 2013

KELONG ATAP BIRU HAJI JAAFAR, MELAKA

Tanggal 18 Disember 2012, satu trip "on the sport" dirancang untuk memancing di kelong. Hasil perbincangan bersama rakan-rakan, maka Kelong Atap Biru Haji Jaafar dipilih memandangkan kelong-kelong yang lain telah dipenuhi oleh pemancing-pemancing lain. Jeti untuk ke kelong ini ialah di Jeti Nelayan Pantai Siring, Pulai Melaka.
Selepas menghubungi tuan punya kelong, tarikh 25 Disember 2012 ditapau (booking) dan membuat tempahan udang dan belanak hidup sebagai senjata utama menjinakan ikan yang dikatakan banyak disekitar kelong trsebut. Tuan Kelong juga memaklumkan bahawa kelong tersebut baru dibuka lebih kurang 4 bulan yang lalu dan ada pemancing yang berjaya menaikan pari lebih kurang 3 kg beserta dengan jenahak, kerapu dan pelbagai spesis pelagik lain. Memandangkan kelong ini amat berhampiran dengan pantai,kami juga membawa perumpun, udang pasar dan juga sotong sebagai umpan tambahan.
Seperti mana dirancang, tepat jam 3.00 petang kami telah sampai di jeti tersebut beserta dengan 8 0rang ahli yang terdiri daripada Abg Z, Bati, Ujang, Kamal MPJ, Khalid, Bedal, Broto dan Ujang. Kami dibawa dengan menaiki bot berukuran 22 kaki dengan enjin Suzuki 30 Kuda. Sebenarnya kelong ini boleh dilihat dari jeti nelayan lagi dan perjalan mengambil masa tidak sampai 5 minit. Sampai sahaja di kelong, masing-masing menyiapkan joran untuk menguji kelong yang pertama kali dicuba. Kebetulan hari yang kami pergi jatuh pada air bani, jadi air pasang surut tidak begitu ketara. Aku juga tidak terkecuali menyiapkan set pancing dan apollo, tetapi hanya seekor sahaja yang sudi menjamah apollo. Itu pun anak talang yang tak layak untuk dibuat umpan.
Semasa air bergerak pasang pada petang tersebut, kami dimeriahkan dengan dengan gerut-gerut sebesar tapak tangan, gelama tirusan dan beberapa spesis yang lain termasuk sesirat (hehehehe) dan malong. Pada sebelah malam gerut-gerut menghilang entah kemana dan digantikan dengan duri pulut dan duri malim dan gelama yang pelbagai jenis. Ikan target seperti pari dan senangin tidak kunjung tiba. Cuma sekali sahaja joran aku diragut kasar dan drag yang diketatkan 60% hanya menyanyi sekejap sahaja.
Hasil pemerhatian kami sepanjang semalaman memancing, ikan di sini pelbagai menu seleranya. Ada masa mahukan perumpun, sekejap mahukan sotong, sekejap mahukan udang yang dikopek kulit. Apa-apa pun, team tarong akan ke kelong ini lagi pada air besar untuk meneroka potensi yang ada. Untuk pemancing-pemancing yang ingin memancing di kelong ini adalah dinasihat supaya membawa lebih daripada 3 jenis umpan agar anda tidak terus membangau dan akan menyebabkan leher anda lebih panjang dari bangau.
Bagi yang ingin bersantai bersama keluarga dan ingin merasa suasana bermalam di pinggir pantai, tidak syak lagi, ini adalah kelong terbaik untuk keluarga dan anak-anak.
Ini kerana terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk kita dan yang paling penting, selepas segala kemudahan digunakan, kita letakan semula ditempatnya dan jagalah kebersihan. 1)Dua bilik tidur disediakan. Kalu nak tilam, baik tidur dirumah
2)Bilik Solat
3)Dapur Gas (barang keperluan/bahan mentah kenalah bawa sendiri)
4) Ni yang paling penting
5) Kekemasan lantai
InsyaAllah, kami akan berkunjung semula ke kelong ini pada air besar untuk melihat potensi yang lebih mengagumkam.