Sabtu, 31 Mac 2012

MEMANCING: HOBI @ BUANG MASA

Assalamualaikum...
Memang tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai hobi dan minat di dalam mengisi masa lapang. Tetapi bagaimanakah sekiranya hobi itu menggangu kita dari segi kerjaya, masa bersama keluarga dan masyarakat? Ada yang minat memancing, memikat burung, mengubah bunga, bercucuk tanam, merempit dan sebagainya. Adakah hobi anda berbaloi untuk anda dan keluarga?
(Gambar pemancing bersama hasil tangkapan) Hobi memancing yang saya ingin kupaskan disini sekadar renungan bersama dan bermuhasabah diri mengenai dunia memancing. Tidak dinafikan hobi memancing terletak di aras yang teratas sekali berbanding dengan hobi-hobi yang lain. Namun kita memancing sekadar suka-suka, hobi pada masa lapang, cari makan atau pun kita memang gila memancing? Walau apa pun kategori kita dalam lapangan ini, 3 perkara jangan dilupa. Pertama ialah Allah swt, kerana Dia adalah Pencipta kita dan memberi rezeki kepada kita. Oleh itu, janganlah kita leka menunaikan haknya seperti solat walaupun kita berada di parit, sungai, sungai pergunungan, lombong, pantai, kelong dan di lautan lepas. Maksud saya, adakala kita alpa dan leka tentang kewajipan ini? Kedua pula mengenai diri kita dan keluarga. Iaitu, untuk satu-satu trip memancing memerlukan modal apatah lagi sekiranya trip itu memerlukan kita untuk bermalam. Sebagai contoh, satu trip ke kelong boleh mencecah RM 50 - 100 seorang. Adakah pemergian kita itu, tidak membebankan anak dan isteri. Tidak dinafikan, pemergian kita itu sebagai mencari rezeki disamping dapat melunaskan hobi. Sekurang-kurangnya merasalah juga isteri dan anak-anak makan ikan segar. Kalau nak beli memang harganya tinggi, mampukah kita? Di Melaka (harga ikan baru/segar)1 kg pari RM 17, Jenahak 1 kg RM 35, senangin 1 kg RM 24 dan gelama sahaja 1 kg RM 8.
Manakala yang ketiga ialah penjagaan alam sekitar di kawasan dan lapangan kita memancing. Pengalaman penulis sendiri ialah ketika mengikuti trip ke kelong dan beberapa lapangan memancing, kebanyakan pemancing hanya pandai bawa tetapi tidak pandai bawa balik. Maksudnya mudah, kita bawa segala macam dan tinggalkan sampah seperti puntung rokok, plastik bungkusan makanan dan bermacam-macam lagi. Kita hanya pandai bawa balik ikan yang kita pancing sahaja walaupun ikan tersebut layak dilepaskan semula agar dapat membesar. Jika kita sendiri tak pandai jaga, untuk jangka 10 tahun akan datang tak mustahil kita akan kata " dulu aku mancing kat sini banyak ikan, sekarang nak dapat sekor pun susah...".
Wassalam. - Penulis juga seorang kaki pancing dan nukilan ini sebagai renungan bersama -